KESULTANAN MELAYU MELAKA
Oleh
Muhammad Afdal B. Yusop
1 Baiduri
Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh seorang putera dari Palembang iaitu Parameswara di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam.Hal ini berubah pada tahun 1409 apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka.Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.
Menurut Sejarah Melayu, Parameswara yang dilahirkan sebagai Dharmaraja adalah Raja Singapura terakhir yang berasal dari keturunan Srivijaya. Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya dari Bentan bernama Sang Nila Utama telah menawan Temasek dan menubuhkan kerajaan Singapura lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan diiktiraf sebagai Raja Singapura oleh satu utusan dari Maharaja China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud "Yang Dipertuan kepada tiga dunia" melambangkan kekuasaan baginda ke atas Palembang, Bentan dan Temasek. Terdapat tiga orang lagi Raja dari keturunan baginda yang memerintah Singapura iaitu, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401). Pada 1401, kerajaan Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa. Parameswara telah berjaya melarikan diri menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk membuka ibu negeri yang baru.
Menurut "Suma Oriental", Parameswara ialah seorang raja Palembang yang menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai Mjeura ("orang yang berani"). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura. Setelah membunuh wakil Raja Siam (bernama Tamagi) di Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang baru.